Ceramah Perdana Harta Dituai, Berkat Digapai di Masjid Kg. Expo Kamunting, Taiping
TAIPING, 12 Mac 2019 Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) daerah Taiping telah menganjurkan ceramah perdana yang bertempat di Masjid Kg. Expo Kamunting. Ceramah yang bertajuk Harta Dituai, Berkat Digapai telah disampaikan oleh Ustaz Azhar Bin Latif selaku pendakwah korporat MAIPk selepas solat maghrib berjemaah dan dihadiri oleh beberapa orang kakitangan pegawai Baitumal Taiping serta pengawai daripada bahagian promosi MAIPk Ipoh. Hadir mengimarahkan lagi majlis ilmu ini Pengerusi Ahli Jawatankuasa Masjid, Encik Nazri Bin Yakob serta beberapa orang ahli jawatankuasa masjid. Program ini turut dihadiri lebih kurang 130 penduduk yang tinggal di kawasan berhampiran masjid tersebut.
Tujuan program ini diadakan adalah untuk memberi pendedahan serta kesedaran kepada masyarakat akan keberkatan dalam bersedekah. Penceramah juga turut menekankan bahawasanya sedekah yang diberikan merupakan salah satu penarik rezeki bagi orang-orang yang mengeluarkan harta mereka ke jalan Allah S.W.T. Selain itu, penceramah juga menekankan tentang fadhilat-fadhilat bersedekah. Antaranya ialah dengan bersedekah akan menghilangkan rasa kurang senang golongan yang miskin terhadap golongan yang berharta dan kaya. Di samping itu, zakat merupakan salah satu perkara yang tergolong dalam kalangan sedekah wajib sepertimana yang diceritakan di dalam Al-quran dan hadith. Ceramah ini melabuhkan tirai setelah masuknya waktu solat fardhu isyak bagi kawasan tersebut iaitu pada jam 8.40 malam. Selesainya solat isya berjemaah, para jemputan menjamu selera di dewan makan sebelum berangkat pulang.